07 February 2009

Pro-M kuasai jawatan utama MPPUM-malaysiakini-

Kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M), Universiti Malaya, mendakwa anggota MPP dari kumpulan Penggerak Mahasiswa sengaja cuba memecahbelahkan sesama pro-M sewaktu pemilihan jawatan-jawatan utama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Isnin lalu.

Pemilihan tersebut diadakan untuk mengisi jawatan yang dipertua, naib yang dipertua, setiausaha dan bendahari MPP.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mohd Hafiz berkata, ini ekoran tindakan Penggerak Mahasiswa mencalonkan beberapa calon daripada kumpulan pro-M untuk mengisi jawatan yang dipertua.

"Tapi semua (anggota pro-M) sudah berpakat untuk mencalonkan Mohd Ridhuan Mohamad bagi memegang jawatan yang dipertua," kata Mohd Hafiz.

Mohd Hafiz juga mendakwa Penggerak Mahasiswa juga berminat untuk menyandang jawatan tersebut.

Keadaan juga menjadi agak tegang seketika apabila calon-calon pro-Aspirasi bagi jawatan-jawatan utama tersebut, tidak puas hati dengan cara pemilihannya.

"Mereka mendakwa pro-M dan calon bebas, didakwa berpakat untuk melakukan pengundian secara mengangkat tangan," kata Mohd Hafiz.

Pemilihan tiga jam

Dalam pilihanraya kampus Universiti Malaya 19 Januari lalu, Penggerak Mahasiswa (dahulu pro-Aspirasi) gagal mempertahankan majoriti kerusi yang dimenanginya setelah mendapat 20 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala, pro-M mendapat 19 kerusi dan calon bebas berjaya memperolehi dua kerusi. Bagaimananapun dua calon bebas tersebut menyokong pro-M setelah pungutan suara dijalankan.

Mesyuarat pemilihan bermula kira-kira jam 11 malam yang dihadiri oleh kesemua 41 anggota MPP.

Menurut Mohd Hafiz lagi, pemilihan pemenang bagi jawatan-jawatan utama itu - yang membabitkan calon Penggerak Mahasiswa dan pro-M - berlanjutan kira-kira jam 2 pagi.

Mohd Ridhuan dipilih sebagai yang dipertua MPP, manakal Chong Yah Huei dan Shah Rizul Ayuni Zulkiply - kedua-dua dari kumpulan pro-M - masing-masing dipilih sebagai naib yang dipertua dan setiausaha.

Manakala calon Penggerak Mahasiswa - Benjamin Ong Jia Ming - terpilih mengisi jawatan bendahari.

Jumpa naib canselor HEP

Manakala pemilihan untuk jawatan timbalan naib yang dipertua, timbalan setiausaha, dan timbalan bendahari dijalankan pada malam Rabu.

Katanya, kesemua nama calon-calon yang disepakati telah dihantar kepada Naib Canselor, Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon untuk diperkenankan, pagi semalam.

Majlis penyerahan watikah tersebut berlangsung di Auditorium Kompleks Perdana Siswa (KPS) malam tadi.

Sementara itu, semua calon yang menang dalam pilihanraya kampus 19 Januari lalu, telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris dan empat pegawai HEP.

Dalam pertemuan tersebut, kata Mohd Hafiz, Dr Azarae berkata beliau akan membersihkan namanya berhubung isu rasuah yang didakwa ke atasnya dan menafikan beliau melakukan perkara tersebut.

Di samping itu, katanya, Dr Azarae juga berkata bahawa beliau akan mengadakan siri jelajah dari kolej ke kolej untuk membersihkan namanya.

No comments: